Ahad, 24 Jun 2012

Rahsia Kejayaan: Minda POSITIF


Kita sering mendengar, kalau mahu berjaya, kita perlulah sentiasa berfikiran positif. Kalau diperincikan lagi, maka dapat kita katakan berfikiran positif itu adalah bersangka baik, jiwa yang bersih dan hati yang jauh daripada pra sangka buruk.
Namun, bagaimana untuk kita ketahui kita ini berfikiran positif atau sebaliknya? Mudah sahaja. Hanya dengan bertanya soalan dan menjawabnya dengan jujur, maka kita akan ketahui jawapannya.
Di entri ini, mari kita cuba satu soalan ini. Oh ya, jangan risau. Apa jua jawapan, hanya anda yang tahu. Simpan ia elok-elok. Diri anda, rahsia anda, hanya anda dan ALLAH sahaja yang lebih tahu.
Baik, sekarang cuba jawab soalan ini. Jawapan yang anda pilih adalah berdasarkan kepada realiti diri anda sendiri, yang akan menentukan anda berada di dalam golongan mana dan ke manakah ‘arah’ anda.
Soalannya adalah:
Apabila anda melihat kejayaan seseorang dalam perniagaan yang beliau lakukan, apakah sudut pandangan atau persepsi yang pertama sekali datang menerjah di fikiran anda?
A: Anda suka dan tumpang gembira dengan kejayaan mereka itu. Dan mahu bersahabat dan belajar daripada mereka. Tiada langsung iri hati dan apa sahaja bentuk kata-kata hati yang negatif.
B: Pra sangka buruk seperti menganggap mereka menggunakan kaedah penipuan ataupun apa jua yang buruk-buruk. Perasaan dengki dan benci pula amat meluat-luat menguasai diri. Anda lebih suka melihat mereka gagal dan susah.
Hanya ada dua pilihan jawapan. Yang mana satukah diri anda? A atau B?
Jika A, alhamdulillah. Anda berada di dalam golongan orang-orang yang BERJAYA dan memiliki minda, hati dan jiwa yang baik keadaannya.
Jika B, maka anda perlu lakukan sesuatu sebelum menyesal di kemudian hari. Golongan B ini amat sukar untuk berjaya dan kalau berjaya pun, ramai musuhnya di mana musuh itu dicipta sendiri olehnya. Malah, mereka juga amat takutkan bayang-bayang sendiri.
Golongan B terlalu pesimis dan terlalu mudah bersangka buruk terhadap orang lain. Apa sahaja yang dilihatnya, didengarnya atau diketahuinya, persepsi pertama sekali yang datang menerjah di benak fikirannya adalah yang buruk-buruk sahaja.
Dan golongan B juga amat suka dan gembira apabila individu yang dibencinya itu diperkatakan dengan sesuatu yang buruk oleh orang lain. Termasuk golongan B adalah mereka yang suka memberikan komen negatif, tuduhan melulu dan berbaur provokasi di blog orang lain.
Pendek kata, kalau yang buruk-buruk dan negatif amat mudah menerjah di fikiran kita setiap kali kita melihat sesuatu, itu bermaksud jiwa dan minda kita belum lagi sihat dan positif sepenuhnya.
Rawatan Jiwa…..
Golongan B perlukan rawatan yang segera. Bukan sekadar rawatan psikologi (fikiran), malah rawatan rohaninya sekali. Golongan ini amat jauh daripada kecintaan ALLAH kerana mereka membenci golongan orang yang berjaya dan baik-baik pekertinya.
Jika kita memiliki minda yang buruk, lusuh dan berkarat, maka teramat sukar untuk kita mencapai sesuatu yang hebat dan besar. Sebaliknya jika minda dan hati kita amat positif terhadap perkara yang baik-baik, seperti terhadap material, pencapaian kejayaan dan orang-orang berjaya, insyaAllah kita juga amat mudah menjadi insan yang berjaya.
Milikilah jiwa, hati dan minda yang POSITIF. InsyaAllah hidup kita akan tenang dan perjalanan untuk meraih kejayaan adalah lebih mudah dan cepat.
Penawar…?
Mungkin ada yang bertanya, apakah penawar untuk sakit sebegini? Tiada cara lain melainkan kita betul-betul mahu berubah ke arah yang lebih baik dan perlulah berusaha bermati-matian untuk membuang sikap negatif ini.
Latihan perlulah dilakukan selalu seperti menggantikan ucapan buruk dan negatif dengan zikir, memperbanyakkan bacaan buku yang positif dan sentiasa berada di sekeliling orang yang positif. Contoh orang yang positif adalah para ulama, ahli ilmu Agama dan juga orang-orang yang berjaya.
Jika selama ini kita suka menyindir, melakukan provokasi, mengumpat, berdendam, membenci, memfitnah, menjadi batu api atau jua ‘watak-watak’ yang jahat, tinggalkanlah itu semua. Itu semua adalah pakaian syaitan yang mahu kita menurut serta mereka menjadi makhluk Allah yang terlaknat.
Selain itu, sentiasalah berada di tempat yang sesuai untuk orang-orang yang baik jiwa dan mindanya. Orang yang berjaya (termasuk yang mahu berjaya), perlulah berada di tempat yang betul. Contohnya, orang-orang yang berjaya tidak suka membuang masa di kedai-kedai kopi, tidak melepak berborak kosong, mengumpat dan menyertai apa jua program yang melalaikan.
Sebaliknya mereka sentiasa berada bersama orang-orang yang baik, positif, orang yang soleh dan baik budi pekerti dan sentiasa menyertai majlis-majlis ilmu untuk bermanfaat untuk hidup mereka di dunia dan juga di akhirat kelak.
Dan jika mahu, anda boleh lakukan cara ini:
  • Senaraikan ayat-ayat yang positif seperti matlamat yang anda mahu capai atau apa jua ayat yang positif. Mungkin kata-kata hikmah, ayat-ayat Al-Qur’an, hadis, kata-kata atau pesanan ulama dan apa jua yang baik-baik. Senaraikan sebanyak mungkin yang anda mahu.
  • Setiap hari, baca senarai itu sekurang-kurangnya sekali terutama pada permulaan hari. Dan apabila diri anda hilang kawalan atau berada dalam keadaan negatif, buka senarai itu dan baca sehingga anda merasakan keadaan negatif itu telah beransur hilang.
Selamat mencuba cara ini.
Apa pun, tiada manusia yang sempurna. Jika kita sedang berada di daerah yang gelap, berusahalah untuk ke ruang yang lebih terang dan bersih. Peluang untuk berubah sentiasa ada dan terbuka luas. Lakukanlah pilihan yang tepat.
ps. Sebaik-baik tempat adalah rumah ALLAH (masjid) dan majlis ilmu.

Tiada ulasan: