Ahad, 24 Jun 2012

Mengapa Mereka Berjaya?



Mungkin kita pernah bertanya pada diri sendiri, “Mengapa mereka mudah sahaja berjaya tetapi orang lain begitu sukar untuk berjaya?”
Untuk menjawab soalan mudah itu, maka mari kita bertanya beberapa soalan berikut untuk mengetahui jawapannya:
1. Adakah kita telah mempunyai ilmu yang BETUL dan BERKESAN?
Semua orang banyak tahu. Tetapi adakah yang diketahui itu boleh digunapakai? Untuk meraih sesuatu, perlulah ada ilmu yang boleh memberikan hasil.
2. Adakah kita telah mempraktikkan ilmu itu dengan bersungguh-sungguh?
Banyak ilmu yang hebat, tetapi tidak mempraktikkannya, maka sia-sialah sahaja. Ilmu perlu digunakan semaksimum mungkin dengan bersungguh-sungguh.
3. Bagaimana dengan tahap KERAJINAN kita?
Orang yang malas, amat sukar untuk berjaya. Malah akan mengambil masa yang amat lama untuk berjaya.
4. Apakah bentuk PERSEPSI kita terhadap KEJAYAAN? Adakah kita negatif terhadap wang, orang-orang berjaya dan kekayaan?
Kalau kita mempunyai pandangan yang negatif terhadap wang, kekayaan atau kejayaan, maka sudah pasti amat sukar untuk kita meraih sesuatu impian atau matlamat. Kita perlu positif terhadap itu semua. Dan yang paling penting, jangan dengkikan orang-orang yang berjaya. Berkawan dan jadikan mereka sebagai sumber rujukan. Mereka ada ‘rahsia’ untuk berjaya. Belajarlah dengan mereka.
Mengapa perlu positif dengan kejayaan, termasuklah terhadap wang? Kerana itulah yang kita mahu miliki. Adalah pelik kita mahu itu semua tetapi kita meletaknya pada sisi pandangan yang amat negatif dan buruk. Setelah positif terhadap itu semua, barulah mudah perjalanan usaha kita.
5. Adakah kita seorang yang suka bersendiri, pasif dan pesimis?
Kalau kita suka menyalahkan orang lain, padahal mereka tidak ada lakukan apa-apa pun terhadap kita, maka itulah dinamakan PESIMIS. Sikap menyalahkan orang lain adalah sikap untuk memuaskan hati sendiri, padahal diri sendiri telah tahu yang salah adalah diri sendiri, cuma malu untuk mengakuinya. Orang-orang yang sering mengelak untuk mengakui kesilapan diri sendiri adalah insan yang amat sukar untuk berjaya.
6. Adakah kita konsisten dan fokus dengan usaha yang dilakukan?
Cuba lihat orang-orang yang berjaya. Mereka amat fokus dalam perniagaan yang mereka usahakan. Mereka punyai satu bidang utama walaupun mungkin mereka ada ceburi bidang-bidang yang lain. Orang yang amat mudah mengikut arah tiupan angin biasanya amat sukar untuk berjaya. Teguhlah dalam impian dan matlamat.
7. Adakah kita tidak berkira di dalam soal mengeluarkan modal?
Dalam tahap tertentu, kita perlu keluarkan modal untuk memajukan lagi perniagaan yang dilakukan. Jika tidak, kita akan terus berada di takuk yang lama.
8. Adakah kita cepat berputus-asa?
Orang yang selalu mudah berputus-asa adalah umpama sebuah kereta yang sering mati enjinnya dalam perjalanan. Lambat sampai ke destinasi. Jadi, kalau ‘gagal’ dalam sesuatu usaha, teruskan lagi dengan tidak mengulangi kaedah yang menyebabkan kegagalan itu tadi. Cuba dengan kaedah dan strategi lain.
9. Bagaimana dengan amalan ibadat kita, atau secara mudahnya, hubungan kita dengan ALLAH?
Tidak dinafikan, ramai orang yang munafik atau ahli maksiat kaya raya dan berjaya material. Mereka tidak begitu bagus dari sudut amal ibadah seperti solat dan sebagainya. Tetapi jangan kita melihat mereka untuk menilai erti sebuah kejayaan. Ramai lagi usahawan berjaya yang beriman dan baik perilaku mereka untuk kita contohi.
Mereka tidak tinggalkan solat dan solat itu dilakukan sebaik mungkin dari sudut bacaan dan juga geraknya. Dilakukan dengan penuh tertib dari takbir sehingga salam. Itulah orang-orang yang berjaya. Itu baru solat, belum lagi hal-hal yang lain.
Kejayaan juga sebenarnya bersangkut paut dengan dosa-dosa yang kita lakukan. Kalau banyak dosa, sudah pasti hati kita akan semakin jauh daripada ALLAH. Jagalah hati kita sebaik-baiknya. Jangan dengki, riak, taksub, mengumpat, memfitnah dan memburuk-burukkan peribadi orang lain.
Itulah beberapa persoalan yang boleh kita tanyakan kepada diri kita sendiri, andaikata kita merasakan terlalu jauh ditinggalkan oleh orang lain, terutama di dalam bidang perniagaan.
Hanya kita yang mengenali diri kita. Ambillah masa untuk menilai diri sendiri (muhasabah).
-

Tiada ulasan: